Gareth Bale "tidak mungkin" menyertai Manchester United dan tidak akan meninggalkan Real Madrid secara pinjaman.

Bale menyertai Real pada 2013 selepas menjadi salah seorang pemain terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Tottenham dengan yuran perpindahan EURO100 juta (RM467 juta).

Tiga musim pertamanya merupakan satu pencapaian yang baik selepas meledak 47 gol dalam saingan LaLiga di samping membantu Real menjuarai dua gelaran Liga Juara-Juara (UCL).

Bagaimanapun, tiga musim berikutnya, pemain kebangsaan Wales itu menghadapi kemerosotan apabila kerap dibelenggu masalah kecederaan dan gagal berada di tahap terbaik.

Real dilaporkan membenarkan Bale berhijrah dan United -- yang dikatakan mahu mendapatkan pemain tersebut ketika bersama Southampton dan Spurs -- kerap kali dikaitkan dengan pemain tersebut tetapi perpindahan itu kelihatan mustahil untuk dimeterai.

"Dia mampu menyesuaikan diri di sana," kata ejen Bale, Jonathan Barnett ,kepada Sky Sports News apabila ditanya mengenai perpindahan ke Old Trafford.

"Saya berasakan dia mampu bermain dengan cemerlang -- dia masih lagi salah seorang pemain terbaik dunia tetapi perpindahan itu kelihatan tidak akan berhasil."

Barnett turut menolak cadangan perpindahan secara pinjaman, sebaliknya hanya tawaran yang luar biasa mampu memujuk Bale meninggalkan Sepanyol.

"Perpindahan pinjaman tidak akan berlaku. Saya tidak berasakan dia mahu dipinjamkan.

"Dia hidup dengan aman di Sepanyol. Saya berasakan hanya tawaran yang lumayan mampu menariknya untuk meninggalkan Sepanyol," tambahnya.