Pertahanan Chelsea, Cesar Azpilicueta, yakin pasukannya akan kembali ke prestasi asal selepas musim yang suram membuatkan masa depan Antonio Conte sebagai pengurus menjadi tanda tanya.

The Blues mengalami kekalahan kedua berturut-turut apabila tewas 1-4 di tangan Watford pada awal pagi kelmarin dalam perlawanan yang menyaksikan Tiemoue Bakayoko dibuang padang, selepas kalah 0-3 di tangan Bournemouth dalam aksi sebelum itu.

Selepas dinafikan Arsenal dalam usaha ke final Piala EFL, Chelsea kini hanya mencatat satu kemenangan dalam lima aksi terakhir liga, meletakkan mereka kini dibezakan hanya satu mata dengan pasukan tangga kelima, Tottenham Hotspur.

Bagaimanapun, Azpilicueta yakin Chelsea mampu mengembalikan keyakinan menjelang aksi pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah menentang Barcelona di Stamford Bridge, 20 Februari ini.

"Kami adalah Chelsea, sebuah pasukan besar dan apabila tewas, ia sangat sedih buat kami.

"Jelas sekali tewas dua perlawanan berturut-turut adalah sangat sukar untuk dihadapi tetapi saya yakin kami akan bangkit. Terdapat tiga sasaran yang perlu dikejar dan empat bulan terakhir ini adalah penentu buat kami," katanya.

Tewas di Vicarage Road menyaksikan Chelsea kalah buat kali pertama di tangan Watford sejak 1999, namun pertahanan Sepanyol itu lega menyaksikan Eden Hazard menjaringkan gol hebat.

"Saya rasa apabila Hazard menjaringkan gol, seluruh pasukan menjadi bersemangat. Kami memulakan babak kedua dengan azam yang tinggi untuk meraih tiga mata.

"Sudah tentu ia sukar buat kami," tambahnya.