'Ayuh Chelsea!' -- Costa bersuara di sebalik ura-ura berpindah

By Joe Wright 14 January 2017 127
'Ayuh Chelsea!' -- Costa bersuara di sebalik ura-ura berpindah

Diego Costa telah mengirim pesanan berbunyi sokongan kepada rakan-rakan sepasukannya di Chelsea di sebalik spekulasi dia mungkin berpindah ketika jendela perpindahan bulan ini.

Penyerang antarabangsa Sepanyol itu dilaporkan telah digugurkan daripada skuad untuk berdepan juara Liga Perdana, Leicester City, hari ini berikutan dakwaan dia bergaduh dengan pengurus, Antonio Conte, dan jurulatih kecergasan, Julio Tous, di padang latihan.

Chelsea enggan mengulas gembar-gembur berkenaan tapi cakap-cakap mengenai kemungkinan pemain itu beralih ke Liga Super China semakin menular, dengan Costa dikhabarkan menjadi sasaran tawaran £80 juta dari kelab Tianjin Quanjian.

Namun, daripada akaun Instagramnya semalam, bekas penyerang Atletico Madrid itu seakan-akan menunjukkan solidariti dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu.

Seiring dengan memuat naik fotonya bersama Pedro ketika meraikan jaringan berdepan Tottenham, dia menulis: “Ayuhlah Chelsea!”

Ia segera disusuli satu siri jawapan daripada peminat yang merayunya untuk kekal.

Costa telah menyumbang 14 gol dan lima bantuan jaringan dalam 19 penampilan liga musim ini.

About Author

Joe Wright

Comment