Pierre-Emerick Aubameyang meletakkan sasaran untuk mengejar Sergio Aguero dan Mohamed Salah dalam perebutan Anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris selepas menjaringkan gol yang membenam Watford, awal pagi tadi.

Aubameyang memanfaatkan kesilapan penjaga gol lawan, Ben Foster, pada minit ke-10 aksi di Vicarage Road itu untuk membantu Arsenal kembali ke tangga keempat liga.

Troy Deeney dilayangkan kad merah yang memberikan Watford kesukaran tidak lama selepas itu, namun skuad kendalian Javi Garcia berkenaan masih mampu menghasilkan dua percubaan yang terkena palang daripada Craig Cathcart dan Adam Masina.

Arsenal mengatasi cabaran 10 pemain Watford itu untuk mencatat rekod tanpa bolos pertama di gelanggang lawan dalam Liga Perdana musim ini.

Ia dilihat sebagai pemangkin terbaik buat barisan kendalian Unai Emery itu untuk menghadapi Napoli dalam suku akhir kedua Liga Europa, awal pagi Jumaat ini.

Jaringan itu merupakan yang ke-18 buat Aubameyang untuk kekurangan satu gol di belakang Salah dan Aguero dalam perebutan Anugerah Kasut Emas manakala penyerang Liverpool, Sadio Mane, memiliki jumlah jaringan yang sama dengan pemain kebangsaan Gabon itu.

Bekas penyerang Borussia Dortmund, Aubameyang, pernah menjadi penjaring terbanyak Bundesliga dalam musim 2016-17 selepas menjaringkan 31 gol dan dia berasakan mampu untuk mengejar Aguero dan Salah walaupun penamat musim sudah semakin hampir.

"Boleh, mengapa tidak? Saya mempunyai keyakinan," katanya kepada Sky Sports ketika ditanya sama ada dia mampu untuk meraih Anugerah Kasut Emas musim ini.

"Perebutan itu akan tetap diteruskan. Saya tahu ia persaingan yang sengit.

"Saya yakin yang saya akan terus melakukannya.

"Ia memerlukan keyakinan. Sudah terlalu lama saya mahu menjaringkan gol seperti ini.

"Malam ini, ia menjadi kenyataan.

"Kebiasaannya penjaga gol tidak menyedari anda akan menghampiri mereka.

"Bagi saya, ia merupakan jaringan yang hebat dan saya menggemarinya," katanya.

Aubameyang beraksi sebagai penyerang tunggal selepas Alexandre Lacazette hanya diletakkan di bangku simpanan, namun penyerang itu menyatakan kesediaannya untuk bergandingan dengan pemain kebangsaan Perancis itu di bahagian depan.

"Semua orang tahu saya gemar untuk bergandingan dengan Laca kerana kami merupakan gandingan yang baik.

"Adakalanya seorang akan beraksi dan seorang lagi di bangku simpanan. Ia semudah itu.

"Anda perlu berjuang untuk pasukan ini.

"Saya berasakan anda tahu saya suka untuk beraksi dengan seorang lagi penyerang, namun saya tidak mahu mengatakannya kerana jurulatih akan berasa marah," tambahnya.

Penjaga gol Watford, Foster, mengakui kesilapan yang dilakukannya itu menjadi punca kepada kemenangan Arsenal selepas dia gagal menolak keluar bola yang dihantar Daryl Janmaat.

"Saya berasa bersalah kepada pemain lain. Mereka bermain dengan amat baik," katanya kepada Sky Sports.

"Kami pasukan yang lebih baik dan sentiasa memberikan tekanan.

"Arsenal amat gembira untuk menewaskan kami dengan serangan balas.

"Secara jujurnya, saya sepatutnya melakukan pusingan Cruyff untuk menafikannya.

"Saya cuba membawa bola itu ke sebelah kiri untuk melakukan hantaran sebelum saya menyedari dia sudah terlalu dekat dengan saya.

"Dia terlalu pantas.

"Saya perlu melakukannya dengan lebih pantas lagi.

"Saya sememangnya bukan penjaga gol moden dan dia sememangnya terlalu pantas untuk menjaringkan gol sebegitu.

"Saya mempelajari sesuatu hari ini," katanya.