Bekas bintang England dan Chelsea, Ashley Cole, bergabung dengan bekas rakan sepasukan, Frank Lampard, dengan menyertai Derby County sehingga akhir musim ini.

Cole telah beraksi dalam kancah Bolasepak Liga Utama (MLS) di Amerika Syarikat (AS) sehingga kontraknya di LA Galaxy tamat penghujung tahun lalu.

Pemain berusia 38 tahun itu telah menikmati karier cemerlang dengan mengharungi detik terbaik dalam kariernya ketika bersama Arsenal dan Chelsea apabila memenangi tiga gelaran Liga Perdana, tujuh Piala FA manakala Liga Juara-Juara (UCL) sekali.

Dia juga merupakan pemain antarabangsa keenam terbanyak yang mewakili England dengan rekod penampilan sebanyak 107 kali di antara 2001 dan 2014.

Lampard, yang pernah bergandingan dengannya di Chelsea dan England, yakin bahawa tahap profesionalisme Cole akan menjadikannya sebagai tambahan berguna di Derby sehingga akhir musim ini untuk membantu mereka layak ke Liga Perdana.

"Ashley Cole merupakan seorang profesional dan individu yang hebat," kata Lampard. "Dia sangat cergas dan ingin terus bermain.

"Saya amat mengenalinya sebagai pemain. Dia seorang yang profesional dan membawa pengaruh. Pada pendapat saya, dia adalah pertahanan kiri terbaik dalam generasinya dan di dunia."

"Kami pernah beraksi bersama-sama ketika menyarung jersi England. Saya lihat dia mampu menangani pemain bintang dalam kejohanan besar.

"Pemain terbaik mengambil risiko. Mereka mempunyai keyakinan, dahagakan kejayaan dan mempunyai hasrat untuk berdepan dengan situasi berbeza.

"Ashley Cole adalah pemain yang akan mencurah segala-galanya di padang," katanya lagi.