ARSENAL 1 SHEFFIELD 1

Mikel Arteta berkata Arsenal "melepaskan dua mata" selepas jaringan John Fleck pada penghujung permainan membolehkan Sheffield United seri 1-1 di Stadium Emirates dan kecewa di sebalik kekurangan barisan pemain pertahanan.


Gabriel Martinelli memacu The Gunners mendahului permainan pada separuh masa pertama semalam dan Arsenal terus mendominasi permainan sehingga 10 minit terakhir perlawanan.

Namun, Arteta sekadar mampu melihat hantaran silang Callum Robinson berjaya mencari Fleck, yang melepaskan rembatan untuk gol penyamaan.

"Saya sangat kecewa, kami lepaskan dua mata," kata ketua jurulatih Gunners, Arteta.

"Mendahului 1-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), apa-apa sahaja boleh berlaku.

"Saya berasakan pasukan lawan telah menggunakan segala kudrat mereka. Mungkin pada lima minit pertama, kami cuba mencari rentak permainan, namun mereka mengubah sistem permainan dan ia semakin sukar untuk mengawal mereka."

Ketika Kieran Tierney dan Calum Chambers dihimpit masalah kecederaan, Arteta memilih Ainsley Maitland-Niles serta Bukayo Saka dan mengakui kekurangan pengalaman dua pertahanan itu adalah punca pasukan lawan mendapat jaringan penyamaan.

"Kami meletakkan harapan tinggi daripada Maitland-Niles dan Saka, namun kami harus menerima perkara yang telah berlaku."

Chris Wilder mengakui pasukannya belum berada di tahap terbaik, namun tetap memberikan pujian selepas berjaya meraih satu mata bagi mengekalkan mereka di tangga ketujuh liga.

Setakat ini, hanya Manchester City dan Liverpool menewaskan mereka di tempat lawan tetapi Wilder menjelaskan persembahan pasukan di Emirates, dengan berkata, "Ia merupakan salah satu persembahan yang hambar buat kami. Tiada momentum dalam perlawanan kerana kedua-dua pasukan kerap hilang kawalan bola.

"Saya tidak terkejut apabila kami ketinggalan, namun saya gembira di atas satu mata yang diraih dalam perlawanan ini. Sikap pemain memastikan kami meraih sesuatu dalam perlawanan ini."




Editor: Ammar Hakim