Arsene Wenger mengakui dia bersalah kerana mengamuk di tepi padang ketika pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Burnley dalam pertemuan yang berkesudahan 2-1, semalam.

Pengendali The Gunners itu dibuang padang ketika masa kecederaan selepas pengadil, Jon Moss, menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-93 yang disempurnakan Andre Gray untuk menyamakan kedudukan.

Wenger meluahkan rasa tidak puas hatinya di tepi padang ketika Moss menghadiahkan sepakan penalti apabila Coquelin bertindak mengasari Ashley Barnes.

Bagaimanapun, Arsenal berjaya pulang dengan kemenangan apabila Moss sekali lagi menganugerahkan sepakan penalti tetapi kali ini kepada pasukan tuan rumah, yang mudah disempurnakan Alexis Sanchez pada minit ke-98.

Wenger, yang pada awalnya berang, menamatkan perlawanan dengan senyuman selepas melihat Laurent Koscielny dikasari Ben Mee, sekaligus mencetuskan sepakan penalti itu.

"Pada pendapat saya, Burnley tidak sepatutnya dianugerahkan sepakan penalti," Wenger bercakap kepada BBC.

"Saya perlu melihat ulang tayang semula. Francis memberitahu saya dia berlari ke arah Ashley dan melanggarnya. Saya sepatutnya mendiamkan diri dan meminta maaf kerana bertindak sedemikian. Saya sepatutnya bertenang.

"Saya sepatutnya mendiamkan diri meskipun saya sedang kecewa.

"Akhirnya kami melakar kemenangan di hujung permainan tetapi ia tetap perlawanan yang sukar. Walaupun beraksi dengan 10 pemain, kami masih berjaya mengutip tiga mata."