Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, tidak berpuas hati dengan pengadil, Robert Madley, selepas menyaksikan pasukannya tewas 3-1 di tangan Liverpool, malam tadi.

Dua gol pada babak pertama oleh Roberto Firmino dan Sadio Mane meletakkan Liverpool selesa di depan sebelum Danny Welbeck merapatkan jurang dalam babak kedua.

Georginio Wijnaldum kemudian mengesahkan kemenangan Liverpool dalam masa kecederaan, namun Wenger berasakan senario berlainan mungkin berlaku sekiranya Emre Can dibuang padang selepas melakukan terjahan terhadap Theo Walcottt.

"Kami tidak bernasib baik, terutama dengan beberapa keputusan pengadil," ujar Wenger ketika sidang media.

"Kamu nilai sendiri sama ada Emre Can sepatutnya dibuang padang atau tidak. Atau lebih baik kamu bertanya kepada pengadil.

"Saya tidak berjumpa dengan pengadil di hujung perlawanan. Saya tidak perlukan penjelasan. Penjelasan tidak akan mengubah keputusan perlawanan."

Wenger turut dikecam ekoran tidak menurunkan Alexis Sanchez dalam kesebelasan utama, dengan pemain Chile itu mula memberi impak sebaik dimasukkan sebaik berakhir masa rehat.

"Saya tidak menyesali keputusan saya," tambahnya.

"Saya hanya kecewa kami tewas perlawanan."