Bekas penyerang Arsenal, Emmanuel Adebayor, mendakwa kelab itu terlalu mengharapkan Alexis Sanchez dan Mesut Ozil.

Arsenal ketika ini menghuni tangga keempat Liga Perdana Inggeris, ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Chelsea, tatkala harapan mereka untuk merebut kejuaraan musim ini sekali lagi kelihatan hambar.

Sanchez telah melakar 14 gol dan tujuh bantuan jaringan musim ini di England manakala Ozil telah pun menyumbang lima gol dan tiga bantuan jaringan.

Adebayor -- yang menyumbang 62 gol dalam 142 perlawanan buat Arsenal dari 2006 hingga 2009 -- berpendapat: "Arsenal mempunyai pasukan yang mantap tetapi jika Sanchez mengalami kecederaan, saya tidak tahu siapa bakal mereka harapkan.

"Jika kamu melihat kepada Chelsea, apabila Hazard tercedera, mereka masih mempunyai Willian; jika Willian juga mengalami kecederaan, mereka masih mampu meletakkan Victor Moses bermain di bahagian sayap.

"Masalah utama Arsenal hari ini, mereka terlalu mengharapkan Sanchez dan Ozil. Jika salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan, masalah akan menimpa."

Adebayor kemudiannya beraksi bersama seteru utama Arsenal, Tottenham Hotpsur, di mana di menyumbangkan 42 gol dalam 113 penampilan, sebelum dia diketepikan oleh Andre Villas-Boas dan Mauricio Pochettino, sebelum meninggalkan White Hart Lane pada tahun 2015.

Bercakap tentang Spurs: "Saya gembira dengan perkembangan Spurs di bawah kendalian Pochettino ketika ini. Walaupun kerjasama di antara saya dan dia tidak berjalan dengan baik, tetapi dia seorang pengurus yang hebat dan kami masih mempunyai hubungan yang baik."

Adebayor ketika ini merupakan ejen bebas tetapi sedang beraksi buat Togo dalam Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika.

Pemain berusia 32 tahun itu percaya dia masih mampu membuat sumbangan jika kembali ke Liga Perdana Inggeris.

"Saya bernasib baik kerana memiliki ejen yang baik, ini bukan kali pertama saya kembali beraksi seperti biasa selepas lama diketepikan. Mereka yang mengenali saya tidak akan berasa terkejut dengan perkara ini."