Penggempur Arsenal, Alexis Sanchez, memberi jaminan bahawa skuad itu akan mencurahkan segala-galanya untuk mengatasi seteru ketat mereka, Tottenham Hotspur, dalam pertemuan getir saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), esok.

Skuad kendalian Arsene Wenger akan menanti kunjungan Spurs di Stadium Emirates dalam usaha meneruskan rentak cemerlang mereka -- 10 kemenangan daripada 11 perlawanan dalam semua pertandingan.

Musim lalu, pertembungan di antara kedua-dua seteru setempat itu berakhir dengan seri, namun Sanchez terdesak untuk memungut tiga mata di Stadium Emirates bagi memenuhi hajat menggunung penyokong sendiri.

"Kami akan mempertaruhkan segala-galanya," ujar pemain Arsenal itu. "Ia akan menjadi satu perlawanan berintensiti tinggi melibatkan aksi-aksi sengit.

"Saya pernah menghadapinya beberapa kali dan pada kali pertama, saya tidak tahu apa yang dituntut.

"Mereka memberitahu supaya saya bermula dengan garang, dan saya masih ingat pernah dikeluarkan awal sehingga saya berpesan kepada diri bahawa perkara sedemikian tidak akan berlaku lagi.

"Ini adalah perlawanan yang penyokong mahukan kemenangan, tidak kira dengan cara apa sekalipun. Mereka adalah musuh ketat. Rakan sepasukan dan saya akan memberikan aksi terbaik di atas padang.

"Penyokong Arsenal adalah hebat dan itu sangat membantu saya untuk beraksi dengan baik dan memberikan sesuatu untuk mereka raikan."

Arsenal berkongsi mata dengan Liverpool dan Manchester City dalam persaingan kedudukan teratas EPL, namun Sanchez memberi amaran agar standard mereka tidak terjejas seandainya berhasrat untuk terus berada dalam pemburuan gelaran.

"Kami mengharungi satu demi satu perlawanan dengan impian besar," tambah pemain antarabangsa Chile itu.

"Semua pasukan adalah pencabar. Tottenham merupakan sebuah pasukan yang mantap, tapi semua pasukan adalah musuh kami.

"Tiada perlawanan mudah dalam EPL. Di sini, anda boleh dikalahkan pasukan tercorot dan itulah keindahannya."