Legenda Arsenal, Bob Wilson, mendedahkan dia lebih gemar melihat Alexis Sanchez kekal di Stadium Emirates berbanding Mesut Ozil.

Kedua-dua pemain tersebut bakal tamat kontrak hujung musim depan dengan beberapa kelab sudah mula menunjukkan minat terhadap mereka.

Masa depan pengendali, Arsene Wenger, turut sama dalam persoalan, dengan Arsenal masih berjuang untuk merebut slot ke Liga Juara-Juara musim depan.

Wilson, bekas penjaga gol dan pernah membuat 200 penampilan bersama The Gunners, berkata di sedar sukar untuk mengekalkan kedua-duanya.

"Saya berharap mereka berjaya mengekalkan Ozil dan Sanchez tetapi saya tidak terlalu berharap perkara itu akan berlaku," katanya kepada Omnisport.

"Segala-galanya akan bergantung kepada kedudukan Arsenal sebaik tamat musim ini.

"Dalam tempoh 19 tahun ini bersaing dalam Liga Juara-Juara -- Arsene Wenger telah melakukan satu pencapaian menakjubkan. Tetapi ada kemungkinan kejohanan itu gagal disertai musim depan dan jika itu berlaku, ia akan memberi kesan terhadap kedua-dua pemain itu.

"Jadi, segala-galanya akan bergantung kepada baki 13 perlawanan liga.

"Daripada kesemua pemain, saya mahu Alexis Sanchez untuk kekal. Ozil merupakan pemain yang hebat tetapi jika saya perlu memilih, saya akan pilih Sanchez."

Arsenal ketika ini menduduki tangga keempat liga, dengan Sanchez meledak 17 gol dan lapan bantuan jaringan dalam 25 penampilan musim ini sementara Ozil telah menyumbang lima gol dan empat bantuan jaringan dalam 22 penampilan setakat ini.