ARSENAL 3 CHELSEA 0

Arsenal merakamkan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Chelsea untuk memberikan Antonio Conte kekalahan berturut-turut dalam aksi Liga Perdana di Stadium Emirates.


The Gunners membuka jaringan seawal minit ke-10 apabila Alexis Sanchez berjaya merampas bola daripada pertahanan, Gary Cahill, untuk meledak gol pada penampilan ke-100 bersama pasukan.

Jaringan tersebut telah memberikan momentum buat Arsenal, skuad bimbingan Arsene Wenger, mengatur pergerakan kemas sebelum Hector Bellerin melakukan hantaran rendah mencari Theo Walcott untuk menggandakan jaringan.

Arsenal menambah jaringan pada minit ke-40, pemain kebangsaan Jerman, Mesut Ozil, melakukan rembatan voli selepas menemui hantaran silang Sanchez untuk menewaskan penjaga gol, Thibaut Courtois.

Bersambung dalam babak kedua perlawanan, anak buah Wenger terus melancarkan serangan ke kubu lawan, Walcot memiliki peluang untuk menambah jaringan, namun Courtois berjaya menampan keluar percubaan pemain England itu.

Ia merupakan kemenangan pertama Arsenal ke atas The Blues sejak Oktober 2011, sekali gus meletakkan mereka di tangga ketiga liga di belakang Manchester City dan Tottenham.