Aaron Ramsey menganggap Arsenal masih lagi dalam pembikinan selepas ketua jurulatih, Unai Emery, meraih kemenangan pertama ketika menewaskan West Ham 3-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Tuan rumah terpaksa bangkit di Stadium Emirates selepas Marko Arnautovic membuka jaringan pada minit ke-25.

Nacho Monreal menyamakan kedudukan dan West Ham dihimpit dengan ketiadaan Arnautovic yang mengalami kecederaan selepas beraksi selama 60 minit.

West Ham membenarkan Arsenal mendahului perlawanan apabila Issa Diop menjaringkan gol sendiri, tetapi Ramsey dan rakan sepasukan terus berusaha dalam perlawanan dan pemain gantian, Danny Welbeck, memastikan mereka meraih kemenangan.

"Dalam separuh masa kedua, kami menghasilkan beberapa peluang dan ia adalah satu proses yang baru buat kami," kata Ramsey.

"Kami mengharungi permulaan yang sukar dan berusaha untuk memperbaiki permainan dalam setiap perlawanan. Emery mahu kami memberikan tekanan sepanjang permainan."

Dengan kemenangan itu hadir selepas tewas kepada Manchester City dan Chelsea, Ramsey menjelaskan, "Ia adalah perlawanan yang sukar. 90 minit yang sukar untuk mempamerkan aksi yang berkualiti.

"Kami masih lagi berusaha untuk meningkatkan mutu permainan. Kami sangat gembira dengan kemenangan ini."