Arsene Wenger percaya semangat kesukanan Pierre-Emerick Aubameyang yang membenarkan Alexandre Lacazette untuk mengambil sepakan penalti ke atas Stoke City daripada menyempurnakan hatrik akan membuat Arsenal lebih bersatu.

The Gunners mudah meraih kemenangan 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam tetapi mereka hanya mula membuka jaringan pada minit ke-75.

Bekas bintang Borussia Dortmund itu menggandakan jaringan empat minit kemudian, yang memberi petanda perlawanan sudah berakhir buat Stoke.

Sepakan penalti diberikan kepada Arsenal selepas Lacazette dijatuhkan oleh Badou Ndiaye tetapi pemain kebangsaan Perancis itu -- yang kembali beraksi selepas berehat enam minggu ekoran kecederaan lutut -- menyempurnakannya bagi meningkatkan semula semangat dengan menjaringkan gol pertama sejak awal Disember.

Dan Wenger percaya ia adalah petanda bahawa pasukannya dalam proses untuk menjadi lebih ampuh bagi aksi akan datang.

"Mereka memiliki persefahaman yang baik," kata Wenger.

"Ia menunjukkan bahawa pasukan dalam keadaan yang baik dan pasukan ini akan menjadi lebih berkualiti selepas ini."

Walaupun ia dianggap sebagai penampilan yang sempurna buat Lacazette, Wenger berasakan penyerang itu masih lagi dalam usaha untuk mendapatkan semula tahap kecergasannya.

"Lacazette belum mempamerkan aksi terbaik. Dalam sesi latihan, dia tampak baik tetapi masih memerlukan dua atau tiga lagi perlawanan."