Arsene Wenger percaya bahawa sesiapa sahaja yang menggantikannya selaku pengurus Arsenal akan menerima skuad yang hebat dan mampu mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), musim depan.

Tempoh 22 tahun Wenger bersama The Gunners semakin hampir untuk berakhir selepas mengemudi pasukannya membelasah Burnley 5-0 di Emirates, semalam.

Arsenal mengesahkan tempat keenam liga tatkala ketinggalan 34 mata berbanding juara, Manchester City, sambil memiliki baki dua perlawanan.

Pembantu pengurus Liverpool, Zeljko Buvac, Carlo Ancelotti, Luis Enrique, Joachim Low, Patrick Vieira, Massimiliano Allegri, Leonardo Jardim, Thierry Henry, Mikel Arteta dan Julian Nagelsmann masing-masing dikaitkan dengan kerusi panas Arsenal itu.

Apabila ditanya tentang perkara yang diberitahu kepada penggantinya, Wenger memilih untuk menutup mulut tetapi berpendapat Arsenal mampu untuk meningkat pada musim depan.

"Saya rasa lebih baik saya tidak bercakap secara umum mengenai pengurus baru kerana saya tidak terlibat," kata Wenger kepada semua wartawan, yang memberi penghargaan terhadap pengendali berusia 68 tahun itu dengan sebotol wain selepas sidang media.

"Saya tidak mahu meletakkan sebarang tekanan kepada pasukan untuk memilih mana-mana individu. Ia bukan keputusan saya.

"Saya cuma berasa bahawa individu itu akan mewarisi sebuah pasukan yang lebih bagus daripada apa yang dapat dilihat ketika ini. Saya yakin selepas melihat semua pemain bersatu di dalam pasukan. Berbekalkan keadaan yang tepat, Arsenal akan mencabar pada musim depan," katanya.

Wenger jelas berada dalam emosi yang bagus apabila berjenaka untuk kembali ke Emirates dan menjerit ke arah pengurus seterusnya, namun dalam masa sama tetap memberikan kenyataan yang tegas.

"Saya gembira untuk duduk di bahagian North Bank. Ia bergantung sama ada saya bekerja di tempat lain atau tidak. Adakah saya akan mempunyai waktu lapang apabila Arsenal beraksi? Saya gembira untuk menontonnya jika anda menawarkan tiket untuk saya.

"Keseronokan menjadi penonton adalah saya boleh menjerit ke arah pengendali seterusnya dari North Bank," ujarnya.

"Kadangkala, anda harus pergi untuk membuatkan orang ramai gembira.

"Saya mahu melakukannya kerana saya memiliki idea dalam bagaimana bola sepak harus dimainkan. Cita-cita saya sentiasa mahu menang dalam keadaan bergaya. Apabila anda berada di kelab besar, saya rasa anda mempunyai tanggungjawab untuk melakukannya.

"Ia sentiasa menjadi sasaran saya dan itu yang saya maksudkan dengan membuatkan orang ramai gembira."