Ivan Gazidis mempertahankan polisi pembelian pemain Arsenal, termasuk keputusan untuk menyambung kontrak pengendali, Arsene Wenger, di samping menegaskan pasukan itu sedang dalam misi mencari pemain bertaraf dunia.

Isu masa depan Wenger mencetuskan ketidakpuasan hati penyokong The Gunners musim lalu, dengan ramai yang menggesa ketua jurulatih kelahiran Perancis itu mengundurkan diri.

Gagal mara ke Liga Juara-Juara Eropah mengeruhkan lagi keadaan, namun pengendali berusia 67 tahun itu berjaya membawa Arsenal merangkul kejuaraan Piala FA.

Mei lalu, Arsenal mengumumkan Wenger bakal meneruskan jawatannya untuk tempoh dua tahun di Stadium Emirates, dan Ketua Pegawai Eksekutif, Gazidis, yakin pihaknya telah membuat keputusan tepat.

"Ia bukan keputusan berdasarkan faktor sentimental," katanya ketika sesi soal jawab bersama penyokong kelab itu.

"Ia keputusan bersama."

Gazidis menegaskan mereka kini memiliki dana yang besar bagi memperkuatkan pasukan.

"Musim lalu, kami membelanjakan lebih GBP110 juta.

"Kami berjaya mendapatkan salah seorang pemain terbaik daripada Bundesliga musim lalu," tambahnya.

"Musim ini, kami akan terus memburu pemain berkualiti.

"Kami memiliki pencari bakat tiga kali lebih ramai berbanding empat tahun lalu.

"Saya percaya untuk menjadi pasukan terbaik dunia, kamu juga perlu memiliki faktor luar padang yang berkelas dunia.

"Saya mahu kelab ini berjaya."

Gazidis turut mempertahankan kepentingan pemegang saham terbesar kelab itu, Stan Kroenke.

"Dia tidak pernah meletakkan pasukan ini dalam keadaan berhutang," jelas Gazidis.

"Dia sentiasa menyokong pasukan ini.

"Tetapi saya berasakan kami perlu berhubung lebih kerap dengan barisan penyokong.

"Sasaran utama musim ini adalah memastikan kami kembali ke landasan kemenangan."