Marko Arnautovic enggan mengulas mengenai masa depannya bersama West Ham selepas hadir sebagai pemain gantian membantu Austria menewaskan Ireland Utara 2-1 dalam saingan Liga Negara-Negara.

Penyerang The Hammers itu menjaringkan lima gol dalam 10 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini -- menjadikan dirinya sebagai salah seorang tonggak utama skuad Manuel Pellegrini itu.

Arnautovic, yang diwakili oleh abangnya, Daniel, mencadangkan beberapa kelab -- termasuk Chelsea dan Everton -- berminat untuk menandatangani pemain berusia 29 tahun itu Januari depan di samping berkemungkinan kembali ke Serie A.

Selepas melakukan bantuan jaringan buat Valentino Lazaro di Windsor Park, Arnautovic tidak mahu membincangkan mengenai masa depannya.

"Saya tidak mahu berbincang mengenai perkara itu, tumpuan saya adalah West Ham," kata Arnautovic.

"Kami bakal berdepan Manchester City dan saya hanya memikirkan mengenai perlawanan itu.

"Apa yang dibincangkan oleh kelab dan ejen bukan urusan saya. Tugas saya hanya memberikan yang terbaik di atas padang."