HUDDERSFIELD TOWN 1 WEST HAM UNITED 4

Penyerang West Ham United, Marko Arnautovic, menyumbat satu gol dan mencipta tiga lagi jaringan untuk pasukannya menundukkan Huddersfield Town 4-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium John Smith, awal pagi tadi.


Arnautovic kini telah menjaringkan gol dalam tiga perlawanan berturut-turut buat The Hammers dan yang terbaru, dia menyumbat jaringan ketika babak kedua baru berusia 11 saat.

Pengurus Hammers, David Moyes, pula menikmati kenangan indah di tempat lawan dengan rekod peribadi yang membanggakan apabila meraih kemenangan yang ke-200 dalam saingan EPL sepanjang kerjayanya selaku pengurus.

Beraksi di tempat lawan, West Ham yang meraih keputusan seri 1-1 ketika bertemu Tottenham Hotspur sebelum ini, membuka tirai jaringan menerusi Mark Noble selepas Arnautovic bijak mengambil kesempatan daripada kesilapan penjaga gol, Jonas Lossl, pada minit ke-25.

Joe Lolley menyamakan kedudukan buat tuan rumah lima minit sebelum tamat separuh masa pertama, namun West Ham kembali di depan ketika babak kedua berusia 11 saat, kali ini menerusi rembatan kaki kiri Arnautovic yang tepat menerjah jaring.

Sepuluh minit kemudian, giliran pemain dari Argentina, Manuel Lanzini, mencatat nama dalam senarai penjaring apabila menyempurnakan hantaran Arnautovic untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Arnautovic dan Lanzini terus mempamerkan persefahaman yang memukau apabila menjaringkan gol keempat buat anak-anak buah Moyes, sekaligus mematikan harapan The Terriers untuk bangkit.

Larian deras Arnautovic yang memasuki kawasan penalti membolehkannya membuka ruang buat Lanzini yang terlebih dahulu menahan bola sebelum melepaskan sepakan tepat ke penjuru kiri gawang lawan.

Kedudukan 4-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, membolehkan West Ham mengutip kemenangan keenam untuk musim ini.