ARGENTINA 1 CHILE 0

Sepakan penalti Lionel Messi menyaksikan Argentina menang 1-0 ke atas Chile dalam aksi getir kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan (CONMEBOL), pagi tadi.


Argentina menampilkan strategi menyerang dengan membariskan Sergio Aguero, Gonzalo Higuain dan Angel Di Maria untuk menyertai Messi dalam kesebelasan utama manakala Ramiro Funes Mori terlepas perlawanan kerana menjalani penggantungan dalam aksi di Estadio Monumental Antonio Vespucio Liberti di Buenos Aires itu.

Juara Copa America Centenario, Chile, pula dirangsang dengan kehadiran Alexis Sanchez, berikutan kecederaan yang membayangi bintang Arsenal itu ketika dalam persiapan pertembungan berkenaan.

Jurulatih, Juan Antonio Pizzi, terpaksa merombak pasukannya ekoran ketiadaan Arturo Vidal (digantung) dan Marcelo Diaz yang tercedera.

Pasukan pelawat hampir memecah kebuntuan pada minit ketujuh di Buenos Aires, namun jaringan Jose Fuenzalida dibatalkan akibat ofsaid selepas Sergio Romero gagal mengeluarkan bola tandukan Charles Aranguiz ke kawasan selamat.

Pada minit ke-16, Messi dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti susulan kekasaran Fuenzalida ke atas Di Maria.

Pemain pertahanan tengah Albiceleste, Nicolas Otamendi, sepatutnya menggandakan jaringan buat Argentina apabila mendapat mendapat peluang dari jarak beberapa ela dari pintu gol Chile tetapi tampanannya pula meliar.

Alexis Sanchez hampir menghadiahkan satu mata untuk Chile selepas sejam permainan berlangsung, bagaimanapun sepakan percuma kencang yang dilepaskannya hanya berupaya menggegar palang gol tuan rumah.

Biarpun tenggelam pada babak kedua, Argentina berjaya mengekalkan kedudukan sehingga wisel penamat untuk pasukan kendalian Edgardo Bauza itu melonjak ke tangga ketiga sementara Chile terperosok di tempat keenam.

Terlebih dahulu, James Rodriguez membantu Colombia melakar kemenangan dramatik ketika permainan berbaki tujuh minit, untuk menumbangkan Bolivia 1-0 di tempat sendiri.

Anak buah Jose Pekerman tampak akan mengakhiri permainan dengan kekecewaan di Barranquilla tetapi ketua pasukan itu menyumbat gol hasil daripada bola muntah sepakan penaltinya yang terlebih dahulu diselamatkan oleh penjaga gol, Carlos Lampe.

Dengan kemenangan itu, Colombia mengiringi pendahulu, Brazil, Uruguay dan Argentina dalam kedudukan teratas pemburuan slot ke Piala Dunia 2018 di Russia.

Empat pasukan terbaik akan layak secara automatik manakala pasukan tangga kelima akan mengharungi aksi play-off.