Andy Carroll kembali perkuat West Ham

By Staff Writer 3 December 2016
Andy Carroll kembali perkuat West Ham

Penyerang West Ham, Andy Carroll, dijangka membuat penampilan pertamanya sejak Ogos apabila pasukannya turun berdepan Arsenal di Upton Park pada Sabtu.

Pengendali, Slaven Bilic, mengesahkan pemain berusia 27 tahun itu akan berada di bangku simpanan dalam aksi menentang The Gunners ekoran sudah pulih daripada kecederaan.

Carroll meledak hatrik ketika pertembungan di antara West Ham dan Arsenal yang berkesudahan 3-3 musim lalu dan Bilic mengharapkan bekas penyerang Liverpool itu kembali dengan prestasi sama tatkala pasukan The Hammers bertekad menamatkan badi lima perlawanan tanpa kemenangan ketika ini.

"Andy Carroll akan berada dalam skuad utama," kata Bilic menjelang pertemuan pada Sabtu.

"Dia belum bersedia untuk beraksi selama 90 minit tetapi dia sedia membuat impak apabila diturunkan nanti.

"Musim lalu, dia bermain dengan cukup baik meskipun hanya beraksi selama 45 minit. Itulah kemampuan dia."

Sementara itu, Bilic kehilangan khidmat Aaron Cresswell dan Michail Antonio susulan masalah kecederaan, namun lega kerana Andre Ayew kembali menjalani latihan.

"Kecederaan Cresswell dan Antonio tidak seteruk dijangkakan dan mereka akan kembali apabila berdepan Liverpool pada 11 Disember nanti.

"Ayew sudah kembali menyertai skuad utama setelah pulih daripada kecederaan.

"Kami kecewa -- tewas 4-1 berdepan Manchester United dalam Piala EFL pada Rabu -- tetapi kami ada perlawanan yang besar pada Sabtu, jadi kami memerlukan keputusan yang positif."

 

About Author

Staff Writer

Comment