Pep Guardiola faham perasaan yang dilalui Jurgen Klopp ketika meraikan kemenangan dramatik 1-0 ke atas Everton kelmarin tetapi mengingatkan pengendali dari Jerman itu mengenai kepentingan untuk menunjukkan rasa hormat kepada lawan.

Klopp berlari dari garisan tepi padang untuk memeluk penjaga gol Liverpool, Alisson, selepas Divock Origi mengesahkan kemenangan 1-0 ke atas Everton pada minit ke-96, sekali gus meletakkan The Reds kembali dibezakan dua mata dengan skuad bimbingan Guardiola yang berada di puncak liga, Manchester City.

Guardiola melalui situasi yang hampir sama musim lalu apabila Raheem Sterling menjaringkan gol kemenangan ke atas Southampton dalam waktu kecederaan dan ketika sidang media menjelang aksi menentang Watford awal pagi esok, dia mengakui menyesal dengan tindakan tersebut.

"Saya melakukannya sewaktu berdepan Southampton. Terlalu banyak perasaan ketika itu. Saya sedar apabila melakukannya, saya tidak gembira," ujar Guardiola.

"Saya boleh faham apa yang dirasai pengendali Everton, Marco Silva, sama seperti apa yang dilalui oleh bekas pengurus Southampton, Mauricio Pellegrini, apabila ia berlaku.

"Ia satu aksi yang penuh emosi, segalanya berada dalam hati, minda dan tubuh anda. Saya bercakap dari dalam diri tetapi anda perlu menghormati pihak lawan," ujarnya.

Dalam masa sama, Guardiola juga menjelaskan dia sedar bahawa situasi itu bergantung sama ada anda menang atau tewas dalam sesebuah perlawanan.

"Apabila anda menang, ia satu personaliti tetapi apabila anda tewas, ia sesuatu yang tidak menghormati lawan," tambahnya.

"Semua orang hidup di mana banyak pujian dilakukan kerana kami menang."