Carlo Ancelotti berasa "senang dengan pandangan profesional" yang menyenaraikannya sebagai sebahagian daripada perancangan Arsenal dalam pencarian mereka untuk mendapatkan pengganti Arsene Wenger.

Semalam, Wenger mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan The Gunners pada akhir musim ini selepas hampir 22 tahun.

Ketua Eksekutif, Ivan Gazidis, mendedahkan dalam sidang akhbar tentang perancangan Arsenal untuk "mencari laluan baru ke hadapan", dengan Ancelotti salah satu nama yang dikaitkan dengan kekosongan itu.

Jurulatih berpengalaman Itali itu tidak memikul sebarang tugasan sejak meninggalkan Bayern Munich pada September lalu dan bersedia untuk kembali ke bidang pengurusan tetapi hanya jika dia diberikan kesempatan yang tepat.

"The Gunners tahu masa depan mereka sendiri. Jika rancangan mereka melibatkan saya, maka saya gembira dengan sudut pandang profesional tetapi buat buat masa ini, tidak ada," kata bekas pengurus Chelsea itu sempena perlawanan Match For Solidarity di Geneva.

"Masa depan saya bergantung kepada peluang dan projek yang dibentangkan kepada saya tetapi ia bukan terpulang kepada saya semata-mata.

"Saya tidak mempunyai masa untuk memikirkan hal-hal lain sehingga esok. Selepas perlawanan ini, barulah saya boleh memikirkan masa depan tetapi bukannya tidak bergantung kepada pengurus kerana saya boleh sahaja mengatakan 'saya mahu bekerja semula', namun itu semua bukan terletak di tangan saya.

"Jika saya mempunyai tawaran dan projek yang tepat, saya akan gembira untuk meneruskannya tetapi seperti yang saya katakan, saya benar-benar memberi tumpuan kepada perlawanan esok," ujarnya.

Ancelotti, yang meraih dua gelaran pada musim pertamanya di Stamford Bridge, memuji Wenger atas tindakannya memaklumkannya lebih awal.

Pengurus itu mahu mengakhiri tanggungjawabnya dengan memenangi Liga Europa, dengan Arsenal bakal bertemu Atletico Madrid dalam aksi separuh akhir.

"Saya fikir ia satu keputusan yang hebat," katanya.

"Ia adalah keputusan Wenger yang amat menghormati kelab dan juga saya berpendapat kelab itu juga amat menghormati pencapaiannya. Dia melakukan tugas yang hebat bersama Arsenal kerana dia membawa mereka ke separuh akhir Liga Europa.

"Jadi, ia penghormatan yang besar kepada Arsene."

Brendan Rodgers, Thomas Tuchel dan Luis Enrique turut menjadi pilihan untuk mengambil alih kerusi panas di Stadium Emirates.