TOTTENHAM HOTSPUR 1 CHELSEA 2

Pemain Chelsea, Marcos Alonso, percaya bahawa pasukannya sudah menemui watak sang juara selepas menewaskan Tottenham Hotspur 2-1 dalam aksi dramatik di Stadium Wembley, malam tadi.

Alonso menjaringkan kedua-dua gol buat skuad kendalian Antonio Conte – menerusi satu sepakan percuma dan satu gol lewat – untuk memastikan juara bertahan itu meraih tiga mata pertama musim ini selepas membuka tirai liga dengan kekalahan kepada Burnley, minggu lalu.

“Saya tidak rasa pernah melakukan sepakan hebat sebegitu walaupun ketika latihan tetapi kini sangat gembira dengan kemenangan yang diraih.

“Terdapat perkara yang diperkatakan sepanjang minggu, namun hari ini kami membuktikan bahawa kami bekerjasama dalam satu pasukan,” kata Alonso.

Chelsea mendahului 1-0 pada minit ke-24 walaupun Spurs menampilkan penguasaan bola hampir untuk sepenuh perlawanan.

Usaha anak buah Mauricio Pochettino akhirnya membuahkan hasil apabila sepakan percuma Christian Eriksen ditanduk masuk Michy Batshuayi ke dalam gawang sendiri pada minit ke-88 sebelum Alonso muncul wira selepas merembat masuk menewaskan penjaga gol Spurs, Hugo Lloris, untuk gol kemenangan The Blues ketika permainan berbaki dua minit.

"Kami menggandakan usaha dalam babak kedua, namun mereka memberikan tekanan tinggi.

"David Luiz menjalankan tugas dengan baik pada hari ini dan seluruh pasukan bermain dengan kemas. Meraih kemenangan di hadapan penyokong, ia sangat hebat,” ujarnya.