Dele Alli menjangkakan pengkritiknya akan terus bercakap di sebalik persembahan cemerlang menewaskasn Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam tadi.

Pemain kebangsaan England itu menjaringkan dua gol dalam babak kedua untuk membantu Spurs meraih kemenangan 3-1, pertama kali di Stamford Bridge sejak 28 tahun lalu.

Alli hanya memerlukan enam minit untuk mengubah keputusan perlawanan dan telah dikritik musim ini kerana terdapat penurunan dalam persembahannya sejak musim lalu, apabila menjaringkan 18 kali dan melakukan tujuh bantuan jaringan dalam saingan EPL.

Pemain berusia 21 tahun itu tidak berasakan dia perlu membuktikan apa-apa ke atas Chelsea kerana kritikan tetap akan hadir buat dirinya.

"Saya pasti ramai yang tidak berpuas hati dengan cara saya bermain. Mereka tetap akan berkata mengenai cara saya," katanya.

"Buat saya, membantu pasukan menjadi keutamaan. Saya akan cuba mengelak daripada terkesan dengan kata-kata ini."

Pengendali Spurs, Mauricio Pochettino gembira di atas persembahan Alli tetapi berasakan beliau perlu memberikan ruang kepadanya untuk "bernafas" dalam perkembangannya.

"Dia seorang pemain yang berbakat dan saya tidak meraguinya," kata Pochettino.

"Pemain muda perlu diberikan ruang untuk bernafas. Saya percaya dia akan mempamerkan peningkatan."

Tandukan Alvaro Morata meletakkan Chelsea di depan tetapi percubaan jarak jauh Christian Eriksen menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa, dengan dua jaringan dalam tempoh lima minit daripada Dele Alli memastikan kemenangan berpihak kepada Spurs.