Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, menolak dakwaan yang mengatakan dia akan menjadi pengurus Arsenal seterusnya.

Jurulatih kelahiran Itali itu sering dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan khabar angin itu semakin kuat dengan laporan dia akan menggantikan Arsene Wenger.

Wenger, yang bertanggungjawab memimpin Gunners sejak 1996, mungkin mengundurkan diri pada akhir kempen, dengan Arsenal sedia untuk tersingkir daripada pusingan 16, Liga Juara-Juara Eropah.

Malah, Arsenal menghadapi cabaran sukar untuk melayakkan diri ke kejohanan itu pada musim depan apabila masih gagal menempatkan diri dalam kelompok empat teratas EPL

Bercakap selepas Juve seri 1-1 di Udinese dalam Serie A, awal pagi tadi, Allegri menolak dakwaan itu.

"Saya ulangi apa yang saya telah katakan sebelum ini -- ia tidak benar," katanya.

"Perkara kedua, walaupun jika ada sesuatu di dalamnya, yang pertama untuk diketahui, saya diikat dengan kontrak sehingga 2018.

"Bukan saya yang boleh memutuskan masa depan saya -- Juventus boleh. Mereka yang membuat keputusan kerana ia adalah cara saya bekerja dan berfungsi sebelum ini."

Allegri menambah: "Apabila masa berlalu, apa yang kita lakukan tahun lepas, kita akan nilai apa yang perlu dilakukan.

"Dan jika khabar angin itu benar, Juventus adalah yang pertama akan mengetahuinya dan saya belum lagi bercerita kepada mereka."

Bekas jurulatih AC Milan itu telah membawa Juve berada di puncak liga dengan kelebihan lapan mata, untuk memburu gelaran liga berturut-turut sejak ketibaannya pada 2014.