Massimiliano Allegri enggan menafi atau mengesahkan spekulasi yang semakin tersebar luas bahawa ketua jurulatih Juventus itu sudah bersedia menggantikan tempat Arsene Wenger di Arsenal pada penghujung musim ini.

Wenger sekali lagi menjadi tumpuan hangat di Stadium Emirates berikutan harapan merebut trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang semakin pudar, beberapa minggu kebelakangan ini.

Kontrak Wenger, 69, bakal berakhir hujung musim ini dan The Gunners dilaporkan sedang berunding dengan Allegri bagi mengambil alih jawatan itu.

Allgeri, yang ditemui selepas membimbing Juventus menumpaskan Crotone 2-0 pagi tadi, menegaskan semua khabar angin itu sekadar mainan media.

"Saya tidak mahu menafi atau mengesahkan apa-apa," katanya kepada Mediaset Premium.

"Saya terikat dengan kelab, kami perlu fokus untuk meraih kemenangan.

"Pada ketika ini, media sering melaporkan saya akan pergi meskipun segala-galanya berjalan dengan sempurna."

Bercakap sebelum aksi menentang Crotone, Ketua Pegawai Eksekutif Juventus, Giuseppe Marotta, mengulangi keyakinannya bahawa Allgeri akan kekal bersama juara Serie A itu.

"Selain Allegri masih terikat dengan kontrak, saya berasakan masih banyak pencapaian yang boleh kami kecapi bersama dan hubungan kami juga sangat akrab," kata Marotta kepada Mediaset Premium.

"Tiada sebab dia akan meninggalkan Juventus kerana wujud kekaguman dan kemesraan di antara kami."

Allegri sudah pun menawan Serie A dan Coppa Italia sebanyak dua kali bersama kelab yang berpangkalan di Turin itu selain turut mara dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada 2015.