Sam Allardyce telah memberi amaran kepada pasukan kendaliannya, Crystal Palace, agar tidak memandang rendah keupayaan Bolton Wanderers apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam saingan Piala FA.

Selepas tewas 2-1 kepada Swansea sebelum ini, Allardyce masih memburu kemenangan pertama bersama pasukan itu berdepan kelab yang pernah dikendalikannya selama lapan musim.

Namun, ketika bercakap menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada Sabtu, Allardyce sedar hukuman menanti pasukannya sekiranya gagal beraksi baik.

"Saya telah memberi amaran kepada pemain bahawa Bolton mampu menghukum kami sekiranya kami gagal mempamerkan aksi terbaik.

"Mereka perlu buktikan apa yang mampu mereka lakukan demi pasukan ini.

"Skuad kendalian Phil Parkinson akan bermain habis-habisan, jadi kami perlu bersiap sedia."

Bekas pengendali England itu dijangka akan membariskan pemain berpengalaman bagi mengubah nasib kelab itu yang telah menempuh musim paling hambar pada tahun 2016 apabila muncul pasukan paling teruk di England.

Allardyce berkata:"Setiap pemain yang akan beraksi pada Sabtu adalah pemain senior; tiada pemain muda akan diturunkan.

"Ini adalah peluang terbaik untuk mereka."

Kepulangan Loic Remy dijangka memberi suntikan besar terhadap jentera serangan Palace dengan pemain dipinjamkan Chelsea itu akhirnya pulih daripada kecederaan lutut.

Allardyce turut berharap pemain penyerang itu mampu menghadirkan ketajaman di bahagian serangan.

"Remy akan memainkan wataknya, namun dia tidak akan beraksi penuh.

"Diharapkan dia akan mencapai keserasian bersama Frazier Campbell."