Alisson berkata Liverpool mahu mengelak daripada melakukan kesilapan mereka musim lalu sambil menegaskan kepentingan perlawanan menentang Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris di Anfield awal pagi Isnin ini.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu, yang juga juara bertahan Liga Perdana, akan bertandang ke Anfield dengan ketinggalan enam mata di belakang Liverpool selepas 11 perlawanan liga.

City dinobatkan juara musim lalu dengan hanya berkelebihan satu mata mengatasi skuad kendalian Jurgen Klopp itu, yang hanya tewas satu perlawanan.

Alisson berkata Liverpool tiada sebarang keinginan untuk melihat keadaan itu berulang dan mahu menamatkannya dengan lebih baik musim ini.

"Kami tidak mahu rasa apa yang telah kami rasakan musim lalu," kata penjaga gol itu kepada The Guardian.

"Menduduki tempat kedua dengan hanya dipisahkan satu mata -- dan kami tidak tahu perlawanan mana yang menyebabkan kami terlepas kejuaraan kerana terdapat beberapa perlawanan yang kami sepatutnya menamatkannya dengan lebih baik dan kami tewas kepada City di tempat lawan di mana kami sepatutnya menang atau seri -- bermakna kami tahu kami perlu memberikan segala-galanya dalam setiap perlawanan untuk menjadi juara Liga Perdana.

"Kami mahu dan kami akan mencuba untuk melakukannya," katanya.

Liverpool memenangi 10 daripada 11 perlawanan liga musim ini -- hanya seri sekali -- untuk menduduki tangga teratas.

Alisson sedar akan kepentingan perlawanan itu dengan juara Eropah berkenaan akan mencuba untuk melebarkan jurang mata.

"Musim lalu, ia merupakan pengalaman yang hebat, satu musim yang hampir sempurna.

"Kami tewas satu perlawanan dan ia adalah ketika menentang City.

"Kami sedar kepentingan perlawanan ini.

"Kami sedar kepentingan perlawanan ini buat semua orang -- buat mereka dan penyokong kami.

"Pada akhirnya, ia hanya tiga mata yang penting tetapi Manchester City merupakan pasukan terbaik dalam liga sepanjang beberapa tahun ini, jadi kami perlu memberikan segala-galanya untuk memenangi perlawanan ini," tambahnya.