Alexander-Arnold tersenarai dalam 'Guinness World Record'

By Staff Writer 17 October 2019 5181
Alexander-Arnold tersenarai dalam 'Guinness World Record'
Nama pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold, secara rasminya tersenarai dalam buku 'Guinness World Record' kerana membuat 12 bantuan jaringan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Pemain berusia 21 tahun itu menjadi pemula tetap di bahagian pertahanan kanan dalam kempen musim 2018-19 apabila tampil sebanyak 29 kali ketika The Reds terlepas gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada Manchester City.

Persembahan mantap itu meletakkannya dalam barisan Pasukan Terbaik Liga Perdana pilihan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) selain menjadi muka tetap bersama England di peringkat antarabangsa.

Keberkesanannya di kubu lawan telah meraih pujian tinggi apabila dia menghasilkan 12 bantuan gol yang merupakan rekod baru buat pertahanan dalam EPL bagi mengatasi rakan sepasukannya, Andy Robertson, yang melakukannya 11 kali dalam musim yang sama.

Alexander-Arnold, yang juga menyinar di Eropah ketika membantu Liverpool memenangi Liga Juara-Juara (UCL), menyifatkan pencapaian itu sebagai "saat membanggakan yang sukar dipercayai" untuk mengatasi rekod yang pernah disandang oleh tonggak Everton, Andy Hinchcliffe (1994-95) dan Leighton Baines (2010-11).

"Dia (Robertson) menganggap bahawa dia telah mendapat saingan yang hebat! Hujung musim lalu kami berdua memberikan persembahan yang amat baik, kami berdua banyak mencipta bantuan gol dan ia sesuatu yang bagus untuk membantu pasukan dalam perlawanan yang memerlukan kami meraih kemenangan," kata Alexander-Arnold selepas menerima penghargaan itu.

"Ini satu penghormatan. Saya sentiasa mahu mencapai kemajuan dan membantu pasukan mencipta seberapa banyak peluang yang mungkin.

"Pemain selebihnya yang menyudahkan peluang-peluang itu kerana bola sepak adalah permainan sepasukan dan tanpa mereka, rekod ini tidak mungkin dicapai.

"Ini adalah saat membanggakan yang luar biasa buat saya dan keluarga, ia sesuatu yang saya harapkan akan bertahan lama."
 

About Author

Staff Writer

Comment