Trent Alexander-Arnold bersetuju dengan kontrak baru jangka masa panjang di Liverpool.

Alexander-Arnold tampil dalam tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim lalu, di mana pemain berusia 18 tahun itu menyerlah dalam penampilan pertama menentang Manchester United pada Januari lalu.

Pengurus pasukan, Jurgen Klopp, menggesa dia untuk kekal fokus dan percaya pemain pertahanan itu -- yang bersama Liverpool sejak berumur enam tahun -- berhak mendapat kontrak baru yang dilaporkan selama lima tahun bagi mencabar tempat Nathaniel Clyne di bahagian kanan.

"Trent memang berhak," kata Klopp kepada laman sesawang rasmi kelab.

"Ya, kami semua memainkan peranan ke atasnya -- jurulatih, rakan sepasukan, akademi dan kakitangan pembangunan. Namun, Trent yang menetapkan apa yang dilakukannya dengan sikap dan karakter yang ditonjolkan.

"Dia sangat komited terhadap apa yang dilakukannya: dia mahu belajar, berkembang dan fokusnya berada di tempat yang betul. Dia menghargai berada dalam suasana pasukan utama. Dia tidak kekok dan malu.

"Trent terus meningkat kerana dia mempunyai keinginan untuk terus belajar. Belajar daripada jurulatih, rakan sepasukan dan pengalamannya sendiri.

"Musim lalu, laluannya berliku tetapi cara dia menanganinya adalah mengagumkan."

Alexander-Arnold berikrar untuk terus meningkatkan prestasinya dengan berkata," Ini detik yang membanggakan buat saya dan keluarga.

"Usaha keras ini tidak akan berhenti. Ini hanyalah permulaan. Saya harap lebih banyak lagi detik-detik seperti tahun lepas dan pada masa akan datang.

"Saya tidak boleh leka dengan posisi dan peluang yang diberikan.

"Setiap hari saya akan cuba memaksimumkan peluang yang ada untuk melakukannya dengan baik."