Ejen kepada Toby Alderweireld, Stijn Francis, menyifatkan pemainnya berhak meraih kontrak yang lebih bagus atau pertahanan berusia 28 tahun itu bakal meninggalkan Tottenham Hotspur.

Pemain kebangsaan Belgium itu bakal menamatkan kontraknya pada musim panas 2019, namun proses untuk memperbaharui kontraknya masih belum selesai.

Spurs dilaporkan tidak mahu melakukan penambahan kontrak satu tahun sebagai pilihan, sekaligus bakal mengaktifkan klausa perpindahan Alderweireld yang hanya bernilai EUR25 juta (RM126 juta).

“Alderweireld sentiasa bagus. Walaupun baru kembali daripada kecederaan, dia tetap pulih dengan baik. Statistik menunjukkan Spurs mengalami masalah semasa ketiadaannya.

“Jika anda melihat kepada carta, dia begitu meyakinkan dan berdasarkan prestasi yang ditunjukkan, Alderweireld berhak untuk meraih kontrak yang lebih baik.

“Terdapat banyak pasukan yang sentiasa menunggu untuk mendapatkan khidmatnya,” ujar Francis.

Spurs memecahkan rekod perpindahan kelab pada bulan lalu selepas mendapatkan Davinson Sanchez dari Ajax dengan yuran perpindahan EUR40 juta (RM203 juta).

Pengendali pasukan, Mauricio Pochettino, turut mendapatkan khidmat dua lagi pertahanan, Juan Foyth dari River Plate serta Serge Aurier dari Paris Saint-Germain (PSG).