Pemain tengah, Ross Barkley, yakin dia sudah bersedia untuk meyakinkan Maurizio Sarri di Chelsea selepas mengalami mimpi ngeri dalam beberapa bulan awal kehadirannya di Stamford Bridge.

Pemain England itu hadir dari Everton pada Januari lalu melalui perpindahan bernilai GBP15 juta (RM79 juta) tetapi hanya melakukan dua penampilan liga di bawah kendalian Antonio Conte.

Masalah kecederaan menyebabkan pemain berusia 24 tahun itu terpaksa disisihkan tatkala Barkley melalui proses pembedahan di bahagian paha sehingga menjadi punca kepada masalah lain.

Bagaimanapun, dia kini bertekad untuk bangkit dalam karier di bawah bimbingan pengendali yang diyakini sesuai dengan corak permainannya.

"Saya tiba di sini dengan masalah kecederaan panjang," katanya.

"Saya tidak beraksi dalam banyak perlawanan akibat banyak masalah kecederaan, memulakan proses pemulihan dan bekerja keras. Namun, saya tidak melihat ia sebagai sesuatu yang membuang masa kerana sejak saya menyertai pasukan pada Januari lalu, saya rasa lebih segar berbanding sebelum ini.

"Saya telah melakukan segala yang perlu. Saya rasa lebih kuat ketika penghujung musim lalu dan bekerja keras untuk mendapatkan kecergasan apabila kempen tamat. Kini, saya lebih bersedia dan yakin berada di tempat yang tepat.

"Jelas sekali pengurus baru memiliki gaya yang berbeza. Kali ini, ia lebih bebas memandangkan anda akan beraksi dengan tiga pemain tengah. Anda boleh mara ke depan, mendekatkan diri dengan kotak penalti, melakukan percubaan, cuba untuk mencipta sesuatu melalui disiplin dan lebih tersusun tanpa bola.

"Saya mahu menyumbat gol dan mencipta jaringan sehingga akhir musim. Diharapkan ia mampu diakhiri dengan trofi. Hanya selangkah lagi tetapi saya berharap dapat memulakan musim dengan lebih kuat," tambahnya.

Mimpi ngeri Barkley pada musim lalu berterusan apabila dia tidak tersenarai dalam skuad ke Piala Dunia, di mana England mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak 1990.

Kini, dia bercadang untuk cuba mendapatkan semula perhatian daripada pengendali skuad kebangsaan, Gareth Southgate.

"Amat menyeronokkan apabila melihat sekumpulan pemain yang muda," katanya.

"Mereka memenangi perlawanan Piala Dunia dan melakukan tugas dengan baik dalam membangunkan pemain. Anda boleh lihat kualiti dan keyakinan yang ditampilkan. Untuk Piala Dunia 2022 atau EURO 2020, mungkin akan lebih ramai bakat baru.

"Untuk mendapatkan tempat dalam skuad Chelsea adalah fokus utama saya. Jika saya dapat tampil bagus bersama kelab, pasukan kebangsaan akan dapat menikmatinya dan itu juga salah satu sasaran saya, kembali bersama England.

"Saya bersedia untuk memulakan musim ini."