CRYSTAL PALACE 1 MANCHESTER UNITED 2

Skuad kendalian Jose Mourinho mengutip tiga mata dengan kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace di Selhurst Park dengan pengendali kelahiran Portugal itu menjulang aksi Zlatan Ibrahimovic yang muncul wira di hujung perlawanan.


The Red Devils membuka tirai jaringan menerusi pemain termahal dunia, Paul Pobga, pada minit ke-45 sebelum James McArthur menyamakan kedudukan pada babak kedua.

Tatkala perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, bekas penyerang Paris Saint-Germain, Zlatan Ibrahimovic, muncul wira dengan gol kemenangan di hujung perlawanan selepas menerima hantaran Pogba.

"Dia mempamerkan aksi cukup menakjubkan," Mourinho memberitahu media."Selepas melakukan jaringan, dia masih mampu untuk membantu barisan pertahanan bertahan sehingga wisel penamat dibunyikan.

"Aksi yang cukup hebat oleh pemain yang sudah mencecah usia 35 tahun, membuat jaringan dan menjadi seorang pemimpin di atas padang."

Sementara itu, Mourinho turut menghamburkan pujian terhadap dua pemain pertahanan, Marcos Rojo dan Phil Jones.

Karier Jones dan Rojo di Old Trafford dilihat sudah sampai ke penghujungnya sebelum ini, namun sejak diberi peluang oleh Mourinho, kedua-dua pemain itu tampil dengan aksi lebih memuaskan setakat ini.

Walaupun Rojo terlibat melakukan terjahan keras terhadap Wilfried Zaha pada babak pertama, Mourinho enggan mengulas lanjut mengenai insiden itu.

"Saya tidak mengulas mengenai terjahan Danny Rose dan David Luiz, jadi saya tidak akan memberi komen mengenai perkara ini," Mourinho memberitahu BT Sport.

"Rojo dan Jones bermain dengan cukup baik ketika ini. Rojo seorang pemain yang agresif, namun dia sedang beraksi pada tahap terbaiknya ketika ini."

Di sebalik kemenangan memberangsangkan di laman lawan, United menerima perkhabaran buruk apabila sekali lagi akan kehilangan khidmat Erik Bailly yang mengalami kecederaan sehingga memaksa pemain itu dikeluarkan pada minit ke-52.