Pemain pertahanan Manchester City, Benjamin Mendy, mendedahkan bahawa dia menggunakan pertemuan Liga Juara-Juara Eropah di antara Monaco dan City pada musim lalu sebagai medan untuk menilai pasukan itu.

Mendy meninggalkan Monaco pada musim panas baru-baru ini untuk menyertai skuad kendalian Pep Guardiola dan dijangka beraksi apabila City turun menentang Liverpool di Etihad.

Ketika dalam satu sesi temubual bersama laman web rasmi pasukan, dia juga menyatakan tidak sabar untuk beraksi di hadapan penyokong-penyokong The Citizens.

"Saya telah membuat keputusan untuk datang ke sini dan menyertai Guardiola.

"City adalah sebuah kelab yang sangat saya minati. Apabila Monaco bertemu City, saya melihat pertemuan itu sebagai satu peluang.

"Saya sedar saya harus menampilkan aksi terbaik untuk meraih peluang mewakili pasukan ini dan akhirnya peluang itu hadir," kata Mendy.

Dalam masa sama, Mendy juga sedar bahawa pertemuan dengan The Kop adalah sesuatu yang harus dipandang serius.

"Menentang Liverpool di laman sendiri, ia pastinya perlawanan yang besar."

"Saya tidak sabar untuk beraksi buat pertama kali di Etihad."