Ole Gunnar Solskjaer tidak percaya pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) di antara Manchester United dan Tottenham adalah ujian buat dirinya dan Mauricio Pochettino bagi mendapatkan tugas tetap di Old Trafford.

Pochettino dianggap sebagai pilihan pertama untuk mengambil alih tugas ketua jurulatih United pada penghujung musim ini manakala pengendali sementara, Solskjaer, turut tersenarai.

Solskjaer telah memimpin United dalam lima kemenangan berturut-turut sejak menggantikan Jose Mourinho bulan lalu -- pengendali kelahiran Norway itu mengetengahkan kembali corak permainan yang menghiburkan di Theatre of Dreams.

Bagaimanapun, Solskjaer –- yang dipinjam dari Molde –- menegaskan pertembungan di antara kedua-dua pasukan bukanlah mengenai dirinya dan Pochettino.

"Tidak. Ia bukan mengenai saya," kata Solskjaer.

"Ia sentiasa mengenai pemai-pemain kerana mereka yang berusaha di atas padang.

"Kami tidak menyepak bola. Kami hanya membuat keputusan tetapi pemain yang bertindak menjayakan perancangan yang telah ditetapkan. Saya pasti pemain-pemain sudah bersedia."

United kini di tangga keenam EPL, 10 mata ketinggalan kepada Tottenham selepas 21 perlawanan.