Jurgen Klopp berkata dia tidak terkejut dengan prestasi mantap James Milner selaku pemain bek kiri Liverpool ketika ini.

Pemain berusia 30 tahun itu telah beraksi di bahagian tengah dan sayap sepanjang kariernya, namun telah mempamerkan aksi ampuh selaku pemain pertahanan musim ini untuk membantu Liverpool menghuni tangga kedua Liga Perdana Inggeris.

Klopp mendedahkan bekas pemain antarabangsa England itu sememangnya dalam perancangannya di samping memuji fleksibiliti Milner untuk beraksi di posisi berbeza.

"Bola sepak telah mengalami perubahan mendadak dalam tempoh beberapa tahun ini, jadi kamu memerlukan pemain yang memiliki skil berbeza mengikut posisi yang dimainkan," kata Klopp menjelang aksi berdepan Manchester City pada Sabtu.

"Bagi kami, sekiranya Millie terbuka dengan tugas barunya itu, segalanya akan berjalan dengan baik.

"Apa yang berlaku ketika ini tidak mengejutkan kami -- bukan kerana kami membuat keputusan bijak tetapi kami tahu kemampuannya."

Klopp turut berasakan perubahan posisi sebagai pemain sayap kepada bek kiri tiada bezanya seperti Nathaniel Clyne yang sedang menyesuaikan diri menyerang seperti pemain sayap.

Dia menambah: "Clyne selaku bek kanan sedang bermain seperti pemain sayap berbanding tahun lalu, ia adalah perkembangan sama seperti Milner.

"Bola sepak sentiasa berubah dan sebagai pemain profesional, mereka perlu menyesuaikan diri. Millie tidak menggemari watak selaku bek kiri tetapi dia tetap beraksi dengan cemerlang.

"Kami sangat meminatinya dan kami juga mahu memastikan dia beraksi dan itulah yang berlaku."