MANCHESTER CITY 0 HUDDERSFIELD TOWN 0

Keceriaan Manchester City sempena meraikan kejayaan menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini sedikit terencat apabila diikat seri tanpa jaringan oleh Huddersfield Town, sebentar tadi.


Peneraju Liga Perdana itu bergelut untuk menjelmakan persembahan terbaik apabila sukar menembusi benteng ampuh Huddersfield, yang kini tiga mata menjauhi zon penyingkiran.

Beraksi di Stadium Etihad yang padat, penyokong mengibarkan bendera sebelum sepak mula sebagai tanda menjuarai liga sejurus wisel penamat dibunyikan.

Begitupun, suasana di atas padang tidak setanding dengan suasana karnival itu, malah City hanya mampu mencipta dua percubaan tepat sepanjang permainan apabila tiada satu pun dilakukan dalam separuh masa kedua.

Sebaliknya, Huddersfield memiliki peluang lebih baik pada 45 minit pertama, khususnya menerusi usaha Florent Hadergjonaj yang merembat tepat ke arah Ederson di dalam kawasan penalti.

Keputusan itu bermakna City masih lagi ketinggalan dengan dua jaringan, dua mata dan satu kemenangan untuk mengatasi rekod EPL menjelang pertemuan dengan Brighton & Hove Albion dan Southampton.

Apapun, satu mata yang diraih malam ini cukup bermakna buat Huddersfield yang perlu menghadapi rintangan Chelsea dan Arsenal dalam usaha untuk kekal dalam EPL.