Pemain Chelsea, Eden Hazard, percaya penglibatan skuad The Blues dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) telah mengganggu kempen pasukan pada musim ini.

Antonio Conte membawa Chelsea meraih kejuaraan liga dalam musim pertamanya di England selepas Chelsea sekadar menamatkan saingan domestik di tangga ke-10 pada musim 2015/16, sekali gus terlepas tiket aksi Eropah.

Bagaimanapun, apabila kembali ke kancah Eropah, Chelsea dilihat bergelut untuk mengekalkan prestasi musim lalu, yang meletakkan mereka kini di tangga keempat liga selepas tewas dua kali berturut-turut di tangan Bournemouth dan Watford.

Chelsea juga tewas di tangan Arsenal dalam aksi separuh akhir Piala EFL bulan lalu, menyebabkan Hazard menyifatkan jumlah perlawanan membuatkan pasukannya mengharungi musim yang sukar.

"Saya rasa Liga Perdana Inggeris adalah sesuatu yang sukar. Bukan mudah untuk menjuarainya setiap tahun.

"Tahun lalu, kami tidak beraksi dalam UCL. Musim ini kami kurang masa untuk mempersiapkan diri kerana berdepan tiga perlawanan setiap minggu," ujar Hazard.

Musim ini, Chelsea beraksi tanpa tiga nadi utama musim lalu selepas Diego Costa berhijrah ke Atletico Madrid, diikuti oleh Nemanja Matic (Manchester United) dan John Terry (tamat kontrak).

Pengganti Costa, Alvaro Morata, dilihat kehilangan sentuhan dan gagal kekal cergas sementara Tiemoue Bakayoko gagal menyesuaikan diri dengan aksi di England, termasuk ketika dilayangkan kad merah pada Isnin lalu.

"Banyak perkara telah berubah. Kami kehilangan pemain dan membawa masuk pemain baru.

"Sebab itu kami cintakan bola sepak. Jika hanya satu pasukan yang menang, pasti ia membosankan. Anda tidak akan tahu apa akan terjadi, terutama di England," tambahnya.