Penyerang Manchester United, Zlatan Ibrahimovic, enggan mengagumi aksi penjaga gol Hull City, Eldin Jakupovic, yang beraksi cemerlang di gawang untuk memastikan kedua-dua pasukan pulang dengan kutipan satu mata apabila terikat seri tanpa jaringan di Old Trafford.

Hull berjaya meninggalkan gelanggang lawan dengan satu mata meskipun pasukan tuan rumah mendominasi hampir keseluruhan perlawanan.

Jakupovic paling mencuri tumpuan buat Hull apabila sering kali mengagalkan percubaan United, terutamanya ketika menyelamatkan gawang daripada percubaan jarak dekat Juan Mata pada minit ke-76.

Walaupun aksi Jakupovic mendapat sorakan penyokong Hull, namun Zlatan mempunyai pendapat berbeza.

"Pada saya, dia (Jakupovic) tidak berada dalam posisi yang sukar untuk menyelamatkan gawang," penyerang Sweden itu memberitahu BBC Sport.

"Dia bukannya menyelamatkan gawang dengan baik tetapi percubaan Mata agak lemah. Dia hanya cuba untuk nampak cantik di depan kamera."

Keputusan seri itu sedikit sebanyak menyuntik semangat baru terhadap perjalanan Marco Silva selaku pengendali baru kelab itu dan walaupun mengakui perlu berterima kasih kepada Jakupovic, dia turut mahu memuji aksi setiap pemainnya yang bangkit selepas kekalahan 4-1 kepada Fulham dalam saingan Piala FA pada Ahad.

"Penjaga gol kami beraksi baik, namun saya lebih gemar untuk memuji aksi setiap pemain," katanya.

"Kami tidak bernasib baik ketika berdepan Fulham tetapi kali ini mereka bermain dengan cukup baik. Saya pasti mereka akan beraksi lebih baik lagi.

"Saya sedar United memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi kami layak mengutip satu mata ini."