Claudio Ranieri berharap pertembungan Leicester City dengan Sevilla dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi esok boleh menjadi detik kebangkitan kepada pasukannya musim ini.

Selepas menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, Leicester berdepan kesukaran dalam saingan domestik musim ini dan bergelut mengelak daripada zon penyingkiran, hanya satu mata dipisahkan dengan tiga pasukan tercorot.

Sebaliknya, prestasi mereka berbeza sama sekali di pentas Eropah -- menjuarai peringkat kumpulan dengan mengatasi Porto -- dan Ranieri menekakan satu lagi kejutan besar mampu mengubah nasib Leicester.

"Aksi EPL akan menjadi keutamaan apabila adanya perlawanan EPL," kata Ranieri menjelang pertemuan dengan Sevilla.

"Ketika ini, kami akan berdepan aksi Liga Juara-Juara. Keutamaan sentiasa diberikan untuk perlawanan berikutnya.

"Perlawanan esok boleh jadi titik tolak. Ia boleh jadi segala-galanya. Jika kami menang, sesuatu boleh diubah. Kami perlukan perlawanan seperti ini.

"Kami sedar bahawa kami adalah pasukan underdog. Dalam 10 tahun terakhir, Sevilla telah mencapai sesuatu yang menakjubkan.

"Mereka sudah biasa berada di kelompok atasan. Mereka memiliki pemain-pemain hebat, namun kami sudah bersedia untuk memberikan saingan dan memperagakan aksi kami."