Mateo Kovacic bakal meraih aksi pertama menyarung jersi Chelsea ketika The Blues melayan kunjungan Arsenal di Stamford Bridge, awal pagi esok.

Pemain tengah Croatia itu tidak disenaraikan ketika Chelsea mencatat kemenangan 3-0 ke atas Huddersfield Town minggu lalu selepas mencapai persetujuan untuk dipinjam daripada Real Madrid pada hari terakhir jendela perpindahan.

Cesch Fabregas juga akan terlepas aksi pertama liga itu dan dijangka sekali lagi direhatkan susulan masalah kecederaan lutut.

Ketiadaan Fabregas membuat pengendali, Maurizio Sarri, tampak akan memberikan ruang buat Kovacic memandangkan Tiemoue Bakayoko telah dipinjamkan kepada AC Milan.

"Saya rasa Kovacic mampu membantu kami. Dia seorang pemain yang memiliki daya teknikal yang tinggi," kata Sarri.

"Ketika ini, dia perlu berusaha. Saya tidak rasa dia bersedia untuk aksi 90 minit tetapi mungkin boleh digunakan untuk tempoh 30 minit.

"Saya ras dia boleh beraksi di mana-mana bahagian tengah. Dia seorang pemain tengah yang menyerang tetapi dia telah meningkatkan corak bertahan sepanjang dua tahun bersama Madrid.

"Saya mengharapkan sesuatu daripadanya kerana bagi saya, Kovacic adalah pemain yang bagus. Pada pendapat saya, dia masih boleh berkembang."

Dalam masa sama, Alvaro Morata dijangka akan mengekalkan tempat selaku penyerang utama walaupun tampak bergelut ketika berdepan Huddersfield.

Penyerang Sepanyol itu menyumbat 11 gol musim lalu dan dia dipertahankan oleh Sarri.

"Saya tidak gusar mengenai Morata. Dia seorang pemain yang bagus," ujar Sarri.

"Ketika ini, saya rasa dia memerlukan keyakinan.

"Morata perlu menjaringkan gol, sama seperti apa yang harus dilakukan oleh penyerang lain di seluruh dunia tetapi dia menunjukkan peningkatan dan saya tidak risaukannya."