Borussia Dortmund mengesahkan telah mengikat pemain buruan Manchester United dan Liverpool, Manuel Akanji dari Basel.

Kedua-dua gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dikatakan berminat terhadap khidmat pemain berusia 22 tahun itu, sebaliknya Dortmund telah mengalahkan kedua-dua pencabar itu dengan perjanjian bernilai sekitar €21.5 juta (RM104.3j).

Akanji, pemain tengah antarabangsa Switzerland, telah memeterai perjanjian selama empat setengah tahun di Signal Iduna Park.

Dia tiba sebagai pemain pertama yang direkrut ketua jurulatih, Peter Stoger, sejak mengambil alih jawatan daripada Peter Bosz pada bulan lalu.

"Manuel menjadi sasaran beberapa kelab utama Eropah dan kami gembira kerana dia telah memilih kami," kata Pengarah Sukan Dortmund , Michael Zorc.

"Dia telah membuktikan dalam pasukan kebangsaan dan Liga Juara-Juara (UCL) bahawa dia boleh bermain di peringkat tertinggi di Eropah.

"Kami melihatnya sebagai pemain pertahanan yang mempunyai potensi untuk terus berkembang," katanya.

Akanji, yang akan menyarung jersi nombor 16, berkata: "Saya berasa sangat seronok dalam perbincangan dengan pengurus Dortmund, ia mendorong saya dan saya sentiasa menyukai bola sepak yang dimainkan di Dortmund.

"Saya tidak sabar-sabar untuk tempoh di sini dan akan melakukan yang terbaik," ujarnya.

Akanji memenangi Liga Super Swiss dengan Basel pada 2015-16 dan disusuli dua piala domestik musim lalu.