Legenda Manchester United, Ryan Giggs, bersetuju untuk menjadi pengarah bola sepak di akademi bola sepak Vietnam menerusi perjanjian selama dua tahun.

Giggs pernah memainkan peranan sebagai pengurus sementara di Old Trafford sebelum menjadi pembantu kepada bekas bos Red Devils, Louis van Gaal, sebaik menggantung but.

Bagaimanapun, sejak menamatkan hubungan panjangnya dengan Red Devils, Giggs belum pernah menerima jawatan lain -- meskipun pernah dikaitkan dengan beberapa jawatan, termasuk yang terbaru di Leicester City dan Everton.

Giggs bakal mengambil tanggungjawab dalam Dana Promosi Bakat Bolasepak Vietnam (PVF), bermula 20 November ini.

Satu kenyataan laman sesawang akademi itu mendedahkan tanggungjawab Giggs termasuk melatih pemain dan jurulatih, mengambil bahagian dalam membina dan membangunkan PVF untuk menjadi pusat latihan pemain bola sepak muda di Vietnam, sejajar dengan akademi bola sepak terkenal di seluruh dunia.

Bekas rakan sepasukan Giggs, Paul Scholes, juga telah diminta untuk mengambil peranan dengan kedua-duanya bersedia untuk menghadiri majlis perasmian pusat latihan PVF.