Marcus Rashford mendedahkan kekagumannya terhadap Sergio Aguero serta menganggap bintang Manchester City itu sebagai penyerang paling lengkap dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain skuad kebangsaan Argentina, Aguero, meledak gol bagi membantu City merampas gelaran juara liga daripada Manchester United dalam aksi terakhir musim 2011-12.

Bagaimanapun, penyerang United dan England, Rashford, merupakan salah seorang peminat pemain berusia 30 tahun itu kerana mampu menghasilkan jaringan dalam semua situasi.

Aguero meledak 18 gol musim ini dan diangkat sebagai penyerang paling prolifik dalam sejarah City.

"Saya berasakan penyerang serba boleh adalah Sergio Aguero," kata Rashford dalam sesi temu bual bersama GQ.

"Walaupun tidak berada di tahap terbaik, dia mampu meledak tiga atau empat gol. Bagi saya, ia merupakan kebolehan yang saya mahu.

"Ketika anda tidak dapat beraksi dengan baik tetapi masih lagi menjaringkan gol -- ia adalah kemahiran yang tersendiri," ujarnya.

Aguero merupakan satu-satunya penyerang yang berjaya menarik minat Rashford.

"Turut sama adalah Harry Kane, dia seorang penyerang yang bijak mencari ruang. Saya juga meminati Pierre-Emerick Aubameyang."

Rashford meledak golnya yang ke-12 musim ini Sabtu lalu tetapi gagal menghalang penyingkiran United daripada saingan Piala FA selepas tewas 2-1 di tangan Wolves.

Pemain berusia 21 tahun itu sedang membuat persiapan menghadapi kelayakan Euro 2020 berdepan Republik Czech dan Montenegro.