Sergio Aguero gagal memberi jaminan bahawa dia akan kekal di Manchester City sebaik tamat musim ini selepas diketepikan pengendali, Pep Guardiola.

Aguero sekadar memanaskan bangku simpanan dalam kemenangan 2-1 ke atas Swansea City malam tadi ketika Guardiola memilih untuk menurunkan rekrut terbaru, Gabriel Jesus.

Guardiola memilih Jesus berbanding Aguero dalam tiga perlawanan berturut-turut dan penyerang Argentina itu, yang telah meledak 11 gol dalam Liga Perdana Inggeris musim ini, memberi bayangan akan meninggakan City selepas enam musim di kelab itu.

"Kadang-kala perkara sebegini berlaku," Aguero memberitahu media apabila ditanya mengenai situasinya.

"Apabila kamu memanaskan bangku simpanan, kamu perlu menanti peluang untuk beraksi itu tiba.

"Saya masih ada tiga bulan untuk melakukan yang terbaik dan cuba membantu pasukan. Kita lihat apa yang akan berlaku hujung musim ini.

"Saya akan cuba membantu pasukan dan selepas itu, kita tunggu dan lihat apa perancangan kelab ini untuk saya.

"Sudah tentu saya mahu terus berada di sini."

Ditanya tentang aksi mantap Jesus di atas padang, Aguero berkata: "Dia seorang pemain yang bagus. Dia masih muda dan masih banyak yang perlu dipelajari tetapi saya yakin masa depannya cerah di kelab ini."