Pep Guardiola akan menyambut semula kehadiran Sergio Aguero untuk berdepan Swansea City selepas kembali daripada penggantungan tiga perlawanan.

Pendahulu Liga Perdana itu kini mencari kemenangan ke-10 pada Sabtu di Stadium Liberty, selepas berjaya menewaskan Swansea 2-1 dalam aksi Piala EFL pada Rabu.

Perlawanan itu menyaksikan ketiadaan Aguero dalam aksi domestik berakhir selepas digantung tiga perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak England kerana menyiku pemain West Ham, Winston Reid, pada Ogos lalu.

Penyerang Sepanyol, Nolito, akan terlepas perlawanan ini kerana cubaannya untuk menghantuk kepala Adam Smith di penghujung perlawanan ketika menang 4-0 ke atas Bournemouth.

"Anda perlu bijak menghadapi apa-apa situasi di atas padang serta memberikan fokus sepenuhnya kepada perlawanan," kata Guardiola.

Guardiola akan sekali lagi tanpa kelibat Vincent Kompany, selepas kapten pasukan Man City itu mengalami kecederaan pangkal paha ketika berdepan skuad kendalian Francesco Guidolin tempoh hari.

David Silva, Kevin De Bruyne, Ilkay Gundogan dan Fernandinho akan kembali ke dalam kesebelasan utama pasukan dan Guardiola menjangka sesuatu yang menarik dalam perlawanan ini.

"Saya dan Guidolin mengenali satu sama lain, Swansea akan bermain secara bertahan kerana ketika bertemu, Guidolin telah menggunakan strategi yang sama.

"Kami perlu lihat dan cuba untuk memenangi perlawanan ini.

"Saya sangat gembira dengan kemenangan sembilan perlawanan berturut-turut kerana ia memberikan semangat kepada pasukan untuk terus menang.

"Ia merupakan sasaran saya sebagai jurulatih."