Sergio Aguero mengakui hari-hari awalnya di bawah kendalian Pep Guardiola di Manchester City tidak mudah, namun penyerang itu berharap pengurusnya itu dapat membantunya meredakan azab yang sudah ditanggungnya selama lima tahun ini menjelang kempen Piala Dunia 2018.

Aguero muncul selaku penjaring terbanyak City musim ini dan sekali lagi memainkan peranan utama untuk meraih gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) ketiganya sejak tiba dari Atletico Madrid pada 2011.

Pemain berusia 29 tahun itu menamatkan kempen musim ini dengan 30 gol biarpun dibelenggu kecederaan serta menjadi pilihan utama Guardiola.

Namun, bukan semuanya berjalan lancar. Ini kerana pada musim lalu, Guardiola menuntut sumbangan yang lebih besar daripada bintang Argentina berkenaan dan lebih kerap menurunkan pemain Brazil, Gabriel Jesus.

"Guardiola mempunyai tuntutan tinggi, tidak mudah pada mulanya," katanya mengenai pengurus City itu yang menandatangani kontrak baru dua tahun semalam bagi memastikan dia kekal di Stadium Etihad sehingga 2021.

"Setelah Gabriel tiba, Pep mempunyai beberapa alternatif dalam kesebelasan utama tetapi di Manchester City, jadual kami padat dalam pertandingan yang berbeza."

Aguero hanya menjadi penonton pada minggu-minggu akhir musim ini berikutan pembedahan lutut selepas diterjah pemain Manchester United, Ashley Young, dalam kekalahan 'derby' 2-3 bulan lalu.

Bagaimanapun, Aguero memberitahu TyC Sports bahawa masalah lutut kanannya itu sudah berlarutan sekian lama sehingga mengganggu rentaknya.

"Sejak 2013 lagi, saya telah mengalami penderitaan ini. Saya berusaha untuk bermain dalam Liga Juara-Juara (kekalahan suku akhir kepada Liverpool)," katanya.

"Pep memberi sokongan penuh kepada saya. Saya berbincang dengan doktor dan dimaklumkan perlu menjalani pembedahan agar saya tidak terlepas Piala Dunia.

"Selepas lima tahun, lutut saya seperti sudah sedia maklum. Saya selalu menghadapi masalah tetapi ketika ini, saya rasa berbeza.

"Saya boleh membengkokkan kaki dan ia melegakan."