Cameroon menjuarai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) buat kali kelima selepas menewaskan Mesir 2-1 semalam, namun pengendalinya, Hugo Broos, berpendapat mereka masih ada ruang untuk diperbaiki.

Jaringan Vincent Aboubakar pada minit ke-88 mengesahkan kemenangan buat Cameroon selepas tandukan Nicolas N'Koulou menyamakan kedudukan tatkala Mesir terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Mohamed Elneny.

Broos berdepan beberapa halangan ketika sedang mempersiapkan pemain, antaranya kehilangan khidmat pertahanan Liverpool, Joel Matip, yang mengumumkan persaraan di samping dikritik kerana menyenaraikan terlalu ramai pemain muda.

"Memang benar setahun yang lalu ketika saya tiba di Cameroon, saya dipertemukan dengan pasukan yang tidak memiliki moral yang tinggi, jadi saya perlu mengubah senario itu," katanya dalam sidang media.

"Mereka bukan datang untuk mewakili skuad negara, sebaliknya tiba kerana dipaksa. Maka, saya terpaksa mengubah pasukan ini dengan membawa masuk pemain muda.

"Kami masih belum mencapai tahap terbaik tetapi kami mampu melakukannya. Ini baru permulaan.

"Saya gembira dengan pemain saya. Mereka bukan sahaja satu pasukan bola sepak, bahkan mereka ini sekumpulan sahabat. Ketika berdepan Senegal, Ghana dan Mesir, mereka berjaya melakukan perubahan.

"Apa yang penting, pada saya, adalah keputusan perlawanan. Saya teruja kerana kami merangkul kejuaraan ini. Ini bukti kerja keras kami.

"Saya tidak ada masalah dengan wartawan mengkritik pemilihan saya tetapi kritikan itu perlulah bersifat objektif. Saya berharap dengan kejuaraan ini, hubungan saya dan media akan berjalan lebih baik."