MANCHESTER CITY 2 NEWCASTLE UNITED 1

Wira Manchester City, Kyle Walker, berasakan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu gagal menampilkan aksi terbaik mereka dalam kemenangan 2-1 ke atas Newcastle United, awal pagi tadi.


City kembali merakamkan kemenangan selepas seri 1-1 di Wolves tetapi ada kalanya mereka kelihatan bergelut menangani serangan balas.

DeAndre Yedlin berada di kedudukan tepat untuk menyempurnakan umpanan Salomon Rondon pada minit ke-30 selepas Raheem Sterling memberikan tuan rumah gol pendahuluan awal di Stadium Etihad.

Walker, yang gagal menjaringkan gol ketika City melakar kejuaraan dengan rekod pungutan mata musim lalu, melancarkan rembatan deras dari jarak 30 ela ketika separuh masa kedua memasuki tujuh minit.

Ia terbukti sudah cukup untuk mereka mengekalkan jarak dua mata di belakang Liverpool dan Chelsea yang menguasai puncak liga.

"Ia akan berlaku apabila sesebuah pasukan mengamalkan pendekatan seperti itu. Anda akan sentiasa menghadapi ancaman serangan balas dan ia sesuatu yang perlu kami perbaiki.

"Masih ada ruang untuk diperbaiki selepas musim panas. Semoga semuanya bertambah baik selepas rehat antarabangsa."

Mengenai sumbangannya, Walker menambah: "Bagus untuk mendapatkan jaringan dan saya tidak menjaringkan gol pada musim lalu.

"Kami menyesuaikan diri dengan sistem yang sedikit berbeza yang membantu saya untuk naik ke atas dengan lebih kerap.

"Bagus untuk bangkit bagi memenangi tiga mata selepas dikecewakan Wolves."

Sterling pula terkesan dengan daya tahan Newcastle yang kuat.

"Newcastle bertahan dengan baik dan kami perlu berhempas-pulas untuk mendapatkan tiga mata," katanya.

"Mereka menerapkan permainan cemerlang di sana dan kami terpaksa berusaha keras.

"Kami pernah mengharungi beberapa perlawanan di tempat sendiri dengan berhadapan pasukan yang gemar bertahan dan berjaya mengharunginya. Kami bekerja keras untuk meraih beberapa kemenangan, begitu juga musim ini."