Jurulatih AC Milan, Vincenzo Montella, tidak berminat untuk membawa masuk perancang Chelsea, Cesc Fabregas, sebagai pengganti kepada Riccardo Montolivo yang cedera.

Montolivo bakal berehat panjang selepas menjalani pembedahan lutut sehingga menimbulkan spekulasi Milan mungkin memancing Fabregas.

Pasukan Serie A itu pernah dikaitkan dengan pemain kebangsaan Sepanyol itu pada jendela perpindahan yang lalu, namun Montella menjelaskan bahawa mereka tidak berminat untuk mendapatkan Fabregas.

"Kami memerlukan pemain seperti ciri-ciri yang dimiliki Montolivo, seseorang yang tahu bermain di bahagian tengah secara berpasangan. Fabregas tidak memiliki ciri-ciri itu," terang Montella kepada Corriere della Sera.

"Montolivo tidak boleh ditukar ganti. Dia penting di dalam padang dan bilik persalinan. Ia kehilangan yang besar berbanding apa yang orang fikirkan."

Pemain berbakat besar, Manuel Locatelli, diangkat sebagai pemain yang berkemampuan menggantikan Montolivo, namun Montella mengelak untuk memberi tekanan terhadap pemain berusia 18 tahun itu.

"Saya memiliki keyakinan ke atas Locatelli. Dia menjadi tonggak penting kami bagi beberapa perlawanan lalu," tambah Montella.

"Tapi kita perlu ingat, dia hanya bermain beberapa kali dalam Serie A. Saya mahu mendedahkannya secara perlahan-lahan."